TANJUNG MALIM, 14 Disember - Kejayaan atlet pecut negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee yang juga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), mencipta sejarah apabila memecahkan rekod kebangsaan acara 200 meter lelaki pada Sukan SEA 2025, meskipun sekadar meraih pingat gangsa.
Atlet berusia 18 tahun itu mencatat masa 20.73 saat dalam aksi final di Stadium Nasional Suphachalasai, sekali gus memadam rekod kebangsaan yang bertahan sejak 2019.
Pingat emas dimenangi atlet tuan rumah, Puripol Boonson dengan catatan 20.07 saat, manakala pelari Singapura, Marc Brian Louis meraih perak.
Danish menyifatkan pencapaian itu amat bermakna khususnya pada penampilan sulungnya di temasya Sukan SEA.
Sementara itu Naib Canselor UPSI, Profesor Dr. Md Amin Md Taff merakamkan setinggi-tinggi tahniah atas kejayaan Danish yang disifatkan bukan sahaja mengharumkan nama negara, malah mengangkat reputasi universiti di pentas sukan antarabangsa.
Menurut beliau, kejayaan memecahkan rekod kebangsaan pada usia muda mencerminkan disiplin tinggi, latihan sistematik serta sokongan padu jurulatih dan keluarga, selain ekosistem pembangunan sukan yang holistik di UPSI.
Danish sebelum ini turut menyumbang pingat gangsa acara 100 meter, sekali gus mengesahkan statusnya sebagai antara prospek pecut terbaik negara.