fb fb fb fb fb

Messi disambut meriah peminat di Mumbai

FOTO REUTERS

MUMBAI, 15 Disember - Peminat bola sepak di bandar Mumbai, barat India, menyambut kehadiran legenda Argentina, Lionel Messi di Stadium Wankhede pada Ahad, sempena jelajah ‘G.O.A.T’ (Greatest of All Time) India Tour.

Beberapa selebriti terkenal India turut hadir ke stadium bagi menyaksikan penampilan Messi, termasuk legenda kriket negara itu, Sachin Tendulkar.

Rakan sepasukan Messi di kelab Inter Miami, Rodrigo De Paul dan Luis Suarez, turut bersama ikon bola sepak dunia itu di atas padang. Ketiga-tiga mereka melambai kepada peminat, beraksi ringkas dengan hantaran bola serta menyepak beberapa bola ke arah penonton sebagai cenderahati.

Terdahulu, jelajah pertama Messi di India bermula dalam suasana tegang di Kolkata pada Sabtu apabila segelintir peminat yang tidak berpuas hati bertindak merosakkan tempat duduk, membaling objek serta menceroboh padang, susulan kemunculan singkat Messi, sebagai tanda protes terhadap pihak penganjur.

Messi dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi pada Isnin.- REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE