fb fb fb fb fb

Penyokong LAFC tidak sabar saksikan penampilan sulung Son di laman sendiri

Pemain baharu Los Angeles FC (LAFC), Son Heung-Min/ Foto REUTERS

LOS ANGELES, 1 September – Kehadiran bintang Korea Selatan, Son Heung-Min ke kelab Los Angeles FC (LAFC) mencetuskan fenomena baharu dalam kalangan komuniti Korea-Amerika di Koreatown, sekali gus mengangkat imej pasukan ‘Black & Gold’ itu ke tahap lebih tinggi.

Pemain yang berpindah dari Tottenham Hotspur dengan nilai dilaporkan mencecah AS$26.5 juta itu bakal melakukan penampilan sulung di laman sendiri menentang San Diego FC pada Ahad, selepas beraksi dalam tiga perlawanan di tempat lawan dengan mencatat satu gol, satu bantuan jaringan dan sepakan penalti.

Jersi nombor 7 miliknya muncul jualan terlaris di platform Fanatics sejak dilancarkan pada 6 Ogos, mengatasi semua atlet lain di dunia, menurut Major League Soccer (MLS).

Kandungan media sosial membabitkan Son juga mencatat lebih 339 juta tontonan serta 14 juta interaksi.

Fenomena itu disamakan dengan impak kehadiran pemain sensasi Jepun, Shohei Ohtani ke pasukan besbol Los Angeles Dodgers.

“Son bukan sahaja hebat di padang, malah perwatakan dan semangat kesukanannya menjadikannya idola yang wajar dicontohi,” kata rakan kongsi BiergartenLA, David Dong.

Kemeriahan itu turut menarik peminat dari luar Los Angeles. James Lee, pengurus sebuah restoran tempatan yang berhijrah dari Korea Selatan berkata rakan-rakannya dari tanah air sudah merancang lawatan semata-mata untuk menyaksikan aksi bintang berusia 32 tahun itu.

Penyokong berharap kehadiran Son dapat membantu LAFC meraih Piala MLS buat kali kedua sejak kelab itu ditubuhkan pada 2018 dengan sebahagian besar menantikan kemungkinan pertembungan dengan Lionel Messi dan Inter Miami di pentas final. -REUTERS

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN