BERLIN, 1 September - Bayer Leverkusen memecat pengurus, Erik Ten Hag hanya selepas dua perlawanan Bundesliga, menurut pengumuman rasmi kelab pada Isnin.
Ten Hag, 55, dilantik pada 1 Julai lalu sebagai pengganti Xabi Alonso yang berpindah ke Real Madrid.
Namun, Leverkusen hanya mengutip satu mata daripada dua perlawanan liga musim ini selepas tewas 1-2 kepada Hoffenheim dan seri 3-3 dengan Werder Bremen.
Pengarah sukan, Simon Rolfes menyifatkan keputusan itu “sukar tetapi perlu”, manakala Ketua Pegawai Eksekutif, Fernando Carro menyatakan ia “menyakitkan, namun tidak dapat dielakkan”.
Bekas pengendali Manchester United itu kini memegang rekod jurulatih paling singkat bersama Leverkusen, memecahkan rekod lama yang berakhir selepas lima perlawanan.
Leverkusen baharu sahaja menamatkan musim terbaik dalam sejarah kelab dengan kejuaraan berganda tanpa kalah pada musim 2023/24, tetapi kehilangan beberapa tonggak utama termasuk Florian Wirtz, Granit Xhaka, Jonathan Tah dan Jeremie Frimpong.
Buat masa ini, sesi latihan pasukan akan dikendalikan barisan pembantu jurulatih sehingga pengganti baharu diumumkan. -AFP
