MARSEILLE, 18 Mei- Pengurus Olympique de Marseille, Jean-Louis Gasset akan mengendalikan perlawanan terakhirnya pada Ahad sebelum bersara.
Gasset dilantik sebagai pengurus interim oleh kelab Liga Perancis itu pada Februari selepas pemecatan pengurus Gennaro Gattuso menyaksikan kelab tersebut kini berada di tangga kelapan liga sebelum perlawanan terakhir menentang Le Havre.
"Menentang Le Havre pada Ahad ini merupakan perlawanan terakhir saya sebagai pengurus", kata Gasset pada sidang media di sini.
"Kehidupan saya semuanya adalah berkaitan tentang bola sepak. Saya mencurahkan segala-galanya. Kini, masanya telah tiba", kata Gasset.
Sebelum ini, Gasset pernah melatih Ivory Coast, namun dipecat ekoran persembahan buruk pasukan berkenaan pada kejohanan Piala Negara-Negara Afrika, Januari lalu.-REUTERS