LOUISVILLE, 18 Mei- Pemain golf nombor satu dunia, Scottie Scheffler ditahan polis pada Jumaat selepas didakwa cuba melanggar kawalan lalu lintas di luar kawasan Kejuaraan PGA di Valhalla.
Scheffler ditahan oleh seorang pegawai polis Louisville Metro kerana dia tidak mengendahkan arahan untuk berhenti berikutan terdapat kemalangan berdekatan kawasan lapangan golf berkenaan, venue di mana dia dijadualkan bertanding pada pusingan kedua kejohanan.
Scheffler didakwa atas tuduhan menyerang seorang pegawai polis, melakukan kesalahan jenayah, memandu secara melulu dan tidak mengendahkan isyarat daripada pegawai yang mengarahkan lalu lintas.
SiriusXM PGA Tour Radio melaporkan Scheffler dibebaskan atas jaminannya sendiri.
Menerusi satu gambar yang dikongsi polis tempatan, Scheffler mengenekan baju lokap berwarna oren.
Tidak lama kemudian, Scheffler kembali ke venue pertandingan tepat pada masanya untuk pusingan kedua, beraksi agak baik dengan melakukan lima bawah par 66 dan berkongsi tempat ketiga pada awal pusingan kedua.
"Saya masih berasa seperti kepala saya berpusing sedikit tetapi saya bernasib baik kerana dapat keluar semula dan bermain golf," kata Scheffler. "Saya berjaya mengekalkan diri saya dalam kejohanan sekarang dengan hari yang agak huru-hara."
Laporan polis mengenai insiden yang diperoleh ESPN berkata pegawai yang menahan Scheffler berkata, pemain golf itu ingkar arahan untuk memberhentikan keretanya dan memecut laju, dan berlaku pergelutan selepas itu.
Pegawai polis itu dimasukkan ke hospital dengan beberapa kesan kecederaan, lebam dan bengkak di pergelangan tangan dan lutut kirinya. Satu perbicaraan ditetapkan pada hari Selasa.
Scheffler, yang memenangi gelaran Masters keduanya bulan lalu, tiba di rumah kelab Valhalla kira-kira 30 minit selepas dibebaskan dan hanya kurang sejam sebelum pusingan kedua,bermula.-AFP