fb fb fb fb fb

Pengendali Harimau Malaya mahu lebur rekod Vietnam

Skuad Harimau Malaya giat menjalankan persiapan

KUALA LUMPUR, 2 Jun - Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski, mengakui cabaran getir menanti skuad negara apabila turun menentang Vietnam dalam aksi Kumpulan F, Kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun ini.

Pengendali dari Australia itu menyatakan rasa hormatnya terhadap Vietnam, namun tetap berhasrat untuk membawa Malaysia mencatat kemenangan bersejarah sekaligus menamatkan rekod tanpa kemenangan ke atas lawan itu yang telah berlarutan lebih sedekad.

“Sudah lebih 10 tahun Malaysia tidak berjaya menewaskan Vietnam. Ini waktu terbaik untuk mengubah sejarah tersebut.

“Saya amat menghormati kekuatan pasukan mereka. Fokus saya bukan kepada seorang pemain sahaja, tetapi kepada keseluruhan pasukan lawan. Kami tidak sabar untuk menghadapi perlawanan itu,” katanya selepas sesi latihan skuad kebangsaan, hari ini.

Cklamovski turut mengakui Vietnam di bawah bimbingan jurulatih dari Korea Selatan, Kim Sang Sik, merupakan pasukan yang berkualiti dan mantap, sambil menegaskan bahawa beliau telah membuat analisis menyeluruh terhadap kekuatan mereka.

“Saya telah menonton kesemua pemain mereka. Mereka pasukan yang sangat bagus dan kuat. Saya menghormati Vietnam, kerana mereka adalah pasukan bola sepak yang berkualiti,” katanya.

Vietnam dan Malaysia kini berkongsi kedudukan teratas kumpulan dengan tiga mata selepas masing-masing memenangi perlawanan pembukaan.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia menewaskan skuad Golden Star Warriors itu adalah pada tahun 2014.

Skuad kendalian Cklamovski dijadualkan menentang pasukan ranking ke-72 dunia Cape Verde, dalam aksi persahabatan tertutup di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam esok.

###

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN