BURIRAM, 2 Jun - Pasukan Johor Motorsports Racing (JMR) berjaya menebus kekecewaan di pusingan lalu apabila bangkit dengan keputusan podium pada pusingan kelima dan keenam Kejohanan GT World Challenge Asia di Buriram, Thailand, semalam.
Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim menyifatkan ia satu pencapaian yang positif dan berharap dapat mempertahankan kedudukan selaku pendahulu.
Lebih manis, kejayaan itu menyaksikan Tunku Abdul Rahman melonjak ke tangga teratas kedudukan keseluruhan pemandu dengan kelebihan 62 mata ketika kejohanan memasuki pertengahan musim.
Mengulas pencapaian itu, Tunku Abdul Rahman melahirkan rasa puas hati selepas berjaya menamatkan perlumbaan di kelompok hadapan.
"Terima kasih kepada Ben dan seluruh pasukan yang bekerja keras meletakkan jentera kami di kedudukan terbaik hujung minggu ini. Mereka benar-benar bertungkus-lumus. Agak malang untuk jentera satu lagi, tapi saya hanya cuba kekal fokus, habiskan perlumbaan, dan dapat sedikit penebusan daripada pusingan di Indonesia. Harapnya kami boleh terus kutip mata selepas ini. Saya benar-benar menikmati perlumbaan ini dan tidak boleh meminta lebih lagi." katanya.
Tunku Abdul Rahman yang bergandingan bersama pelumba profesional, Ben Green, mempamerkan aksi mantap di Litar Antarabangsa Chang sepanjang 4.5 kilometer apabila Green terlebih dahulu mencatat masa terpantas ketika sesi kelayakan, sekali gus meraih petak utama bagi perlumbaan Ahad.
Green turut memberikan aksi konsisten sepanjang perlumbaan sebelum menyerahkan tugasan memandu jentera #99 kepada Tunku Abdul Rahman, yang melengkapkan hujung minggu cemerlang selepas menamatkan perlumbaan pusingan kelima semalam di tempat kedua.
Sementara itu, satu lagi jentera JMR yang dibarisi Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim dan rakan sepasukan, Jordan Love, tidak bernasib baik apabila terpaksa menarik diri selepas m jentera #66 mereka mengalami masalah brek belakang pada pertengahan perlumbaan.
Pusingan ketujuh dan kelapan kejohanan akan berlangsung di Fuji International Speedway, Jepun dari 11 hingga 13 Julai ini.