fb fb fb fb fb

Safawi sedia galas tanggungjawab sebagai penyerang Harimau Malaya

Safawi sentiasa bersedia

KUALA LUMPUR, 2 Jun - Pemain sayap kebangsaan, Muhammad Safawi Rasid, menyatakan kesediaannya menerima cabaran baharu apabila diturunkan di posisi penyerang ketika perlawanan antarabangsa Tier 1 menentang Cape Verde, minggu lalu.

Menurut Safawi, perlawanan tersebut merupakan kali pertama beliau beraksi sebagai penyerang utama bersama skuad Harimau Malaya.

“Bagi saya, tiada masalah untuk bermain di posisi penyerang sebab mungkin jurulatih lebih tahu apa yang saya buat dalam latihan. Jadi, saya ambil tanggungjawab malam itu untuk buktikan sesuatu. Alhamdulillah, kita dapat keputusan yang baik,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad kebangsaan, hari ini.

Pemain berusia 28 tahun itu sebelum ini lebih dikenali sebagai pemain sayap dan juga pernah diturunkan di bahagian tengah.

Namun, beliau membuktikan kemampuan menyesuaikan diri apabila digandingkan bersama Mohamad Faisal Abdul Halim dan Arif Aiman Mohd Hanapi di jentera serangan.

Safawi merupakan antara pemain utama yang diturunkan dalam kesebelasan utama ketika Malaysia seri 1-1 menentang Cape Verde di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Khamis lalu.

Dalam perkembangan yang sama, Safawi turut mengalu-alukan kehadiran pemain warisan dalam skuad negara.

Safawi menyifatkan ia sebagai satu perkembangan positif yang mampu mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan pemain.

“Saya tidak ada masalah. Tidak kira pemain tempatan, naturalisasi ataupun siapa-siapa pun. Bagi saya dalam latihan kena bagi 100 peratus dan tiada alasan. Saya tiada masalah untuk bersaing dalam latihan,” katanya.

Media tempatan hari ini melaporkan tiga pemain warisan baharu akan tiba di Malaysia menjelang perlawanan menentang Cape Verde malam esok.

Tiga pemain terbabit ialah penyerang Rodrigo Holgado dari Amerika Syarikat, pemain pertahanan Sabah FC dari Azerbaijan, Jon Irazabal, serta penyerang Olympiacos, Jefte Betancor, yang kini dipinjamkan ke kelab Greece, Panserraikos.

Malaysia dijadual bertemu Cape Verde dalam aksi persahabatan tertutup di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok, sebelum melengkapkan aksi terakhir Kumpulan F, pusingan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN