BARCELONA, 2 Jun - Juara dunia empat kali, Max Verstappen, mengakui rasa kecewa mendorongnya bertindak di luar kawalan apabila melanggar kereta pemandu Mercedes, George Russell, pada penghujung perlumbaan Grand Prix Sepanyol.
Insiden itu berlaku sejurus perlumbaan disambung semula dengan baki lima pusingan selepas kemunculan kereta keselamatan.
“Saya berada dalam strategi yang baik dan perlumbaan berjalan lancar di Barcelona, sehinggalah kereta keselamatan keluar.
“Pilihan tayar di akhir perlumbaan dan beberapa tindakan selepas perlumbaan disambung menyebabkan saya kecewa, yang membawa kepada satu tindakan yang tidak sepatutnya berlaku.
“Saya sentiasa memberikan segalanya untuk pasukan, dan kadangkala emosi boleh menguasai diri,” tambahnya.
Verstappen dikenakan penalti 10 saat yang menyebabkan kedudukannya jatuh daripada tempat kelima ke tempat ke-10.
Dia juga dikenakan tiga mata penalti pada lesen perlumbaannya meninggalkannya hanya satu mata sahaja lagi daripada berdepan penggantungan satu perlumbaan. - AFP