KUALA LUMPUR, 18 April - Prestasi cemerlang dilakar kem olahraga negara pada Kejohanan Trek dan Padang Singapura ke-82 minggu lepas, bukan kayu pengukur tepat untuk meramalkan kejayaan mereka di Sukan SEA Hanoi, bulan depan.
Biarpun berpuas hati dengan pencapaian anak buahnya, ketua jurulatih olahraga kebangsaan Mohd Manshahar Abdul Jalil mengingatkan mereka agar tidak mendabik dada dengan kejayaan tersebut memandangkan dua kuasa besar olahraga di peringkat Asia Tenggara iaitu Thailand dan Vietnam tidak menghantar wakil mereka di Singapura.
“Kita tidak boleh tentukan kejayaan di Sukan SEA Hanoi berdasarkan pencapaian atlet dalam kejohanan di Singapura tempoh hari.
“Tidak banyak negara mengambil bahagian di Singapura...selain Malaysia yang menghantar 14 atlet, kejohanan itu turut menyaksikan penyertaan Filipina dan Indonesia,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Malaysia mengakhiri saingan di kejohanan itu dengan membawa pulang lapan emas, dua perak dan dua gangsa.
(Dari kiri - Muhammad Irfan atlet lempar cakera lelaki, Andre Anura atlet lompat jauh lelaki negara dan Queenie Ting Kung Ni atlet lempar cakera wanita/FOTO fail)
Bagaimanapun, berdasarkan prestasi di Singapura, Mohd Manshahar menjangkakan dua atlet lempar cakera lelaki dan wanita iaitu Muhammad Irfan Shamsuddin dan Queenie Ting Kung Ni serta atlet lompat jauh lelaki negara, Andre Anura Anuar berada dalam landasan tepat untuk meraih emas dalam temasya dwitahunan itu.
Muhammad Irfan menguasai acara lelaki dengan catatan 59.15 meter (m), jauh meninggalkan atlet Filipina, John Albert Mantua (49.57m) untuk pingat perak diikuti Eric Yee Chun Wai daripada National University Singapore yang menamatkan saingan dengan pingat gangsa (47.67m).
Queenie pula memastikan emas miliknya selepas mencatat 46.27m untuk menewaskan seorang lagi wakil negara, Choo Kang Ni (44.11m) yang meraih perak dan Melissa Yee Wai Teng dari Singapore Institute of Technology merekodkan 33.82m untuk pingat gangsa.
Selain itu, catatan 7.60m sudah cukup bagi Andre Anura untuk muncul juara acara lompat jauh seterusnya mengecewakan Janry Ubas dari Filipina yang meraih perak (7.52m) dan gangsa pula dimenangi Tedd Toh daripada Wings Athletics Club (6.93m).
Dengan berbaki kira-kira tiga minggu lagi sebelum Sukan SEA Hanoi bermula, Mohd Manshahar berharap agar kesemua atlet negara dapat mengekalkan momentum selain memastikan mereka bebas daripada sebarang kecederaan sebelum beraksi di Vietnam.
Edisi Sukan SEA yang ke-31 di Hanoi, Vietnam dijadual berlangsung dari 12 hingga 23 Mei ini.- BERNAMA