MANCHESTER, 31 OGOS – Penalti kapten, Bruno Fernandes pada minit ke-95 memastikan Manchester United meraih kemenangan dramatik 3-2 ke atas Burnley dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, awal pagi tadi.
United yang mahu melupakan kekecewaan tersingkir di tangan kelab divisyen empat, Grimsby dalam saingan Piala Liga bermula garang apabila mendahului menerusi jaringan sendiri Josh Cullen pada minit ke-27.
Namun, kelekaan tuan rumah terbalas apabila Lyle Foster menyamakan kedudukan awal babak kedua sebelum Bryan Mbeumo mengembalikan kelebihan kurang dua minit kemudian.
Kesilapan penjaga gol Altay Bayindir memberi ruang buat Jaidon Anthony menjaringkan gol penyamaan Burnley pada minit ke-67, sebelum VAR menghadiahkan sepakan penalti kepada United selepas Amad Diallo dikasari.
Fernandes tenang menyempurnakan sepakan itu untuk mengesahkan tiga mata pertama musim ini.
Pengurus United, Ruben Amorim mengakui pasukannya menyukarkan keadaan sendiri.
“Ia tiga mata penting, tetapi kami sepatutnya menyelesaikan perlawanan lebih awal. Banyak peluang depan mata pada babak pertama tetapi kami gagal manfaatkannya,” katanya.
Sementara itu, pengendali Burnley, Scott Parker meluahkan kekecewaan terhadap peranan besar VAR.
“Perlawanan jadi hambar kerana keputusan diulang semak berkali-kali. Pengadil di padang tidak beri sepakan, tetapi keputusan diubah oleh individu dalam bilik VAR. Ia menjejaskan semangat dan emosi dalam bola sepak,” katanya. - REUTERS