BARCELONA, 19 Julai- Peminat Barcelona menyumbang sejumlah wang ke akaun TikTok rasmi kelab itu sebagai simbolik dalam usaha menyokong kelab Catalan it mendapatkan penyerang Nico Williams.
Pemain sayap Athletic Bilbao yang berusia 22 tahun itu, menjadi sasaran perpindahan utama kelab-kelab terkemuka Eropah, susulan aksi yang ditampilkan dalam kejohanan Euro 2024, baru-baru ini.
Kelibat Williams dalam skuad utama Sepanyol diakui membantu pasukan itu memenangi tujuh kemenangan sekali gus dinobat sebagai juara buat kali ke-4.
Williams, yang menjaringkan dua gol termasuk gol pembukaan dalam kemenangan 2-1 Sepanyol ke atas England pada perlawanan akhir, menunjukkan gandingan yang berkesan dengan penyerang Barcelona, Lamine Yamal, pemain muda terbaik kejohanan itu.
Peminat Barcelona bertekad untuk mendapatkan gandingan serangan Yamal-Williams ketika mereka menghantar dana kepada kelab Catalan itu, yang berdepan cabaran kewangan sejak kebelakangan ini.
"Tandatangan Nico", "Kami perlukan Nico 100%" dan "Demi Nico Williams" ialah beberapa komen yang dilemparkan peminat pada video TikTok terbaru Barcelona.
Menurut Transfermarkt, nilai pasaran semasa Williams ialah 70 juta euro ($76.29 juta), manakala akhbar Sepanyol melaporkan bahawa Athletic menetapkan yuran pelepasannya pada 58 juta.
Di sebalik niat baik peminat Barca, sumbangan yang dilabelkan sebagai "ganjaran" di TikTok, tidak akan banyak membantu kelab kerana ia berkisar antara 5 sen hingga satu Euro, dengan rangkaian sosial mengekalkan sebahagian besar dana.
Barcelona, yang menduduki tempat kedua dalam LaLiga dan tersingkir daripada Liga Juara-Juara pada peringkat suku akhir musim lalu, masih belum menandatangani sebarang pemain setakat ini, semasa jendela perpindahan musim panas.- REUTERS