KUALA LUMPUR, 19 Julai- Skuad Harimau Malaya naik satu anak tangga untuk menduduki tempat ke-134 dunia berdasarkan ranking terbaharu FIFA.
Sebelum ini pasukan kebangsaan menghuni kedudukan ke-135 dunia sejak 20 Jun lepas.
Kali terakhir skuad kebangsaan membuat penampilan ialah pada saingan Kumpulan D Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026 - Piala Asia 2027 dengan masing-masing seri 1-1 menentang Kyrgyzstan dan berjaya menewaskan Taiwan 3-1.
Harimau Malaya akan membuat penampilan pada Pestabola Merdeka 2024 yang dijadual berlangsung dari 2 hingga 10 September ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Dalam pada itu, pasukan Indonesia turut naik satu anak tangga di atas Malaysia untuk huni tempat ke-133 dunia.
Sementara itu, rangking pertama dunia kekal milik Argentina yang baharu menjulang kejuaraan Copa Amerika 2024 menewaskan Colombia 1-0 pada 15 Julai lalu.
Sepanyol yang menjuarai Euro 2024 selepas menumpaskan England 2-1, melonjak lima anak tangga untuk menduduki tempat ketiga.
Tempat kedua kekal milik Perancis manakala England pula ditangga keempat.