KUALA LUMPUR, 15 September - Kegagalan memilih calon yang tepat sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berisiko menjejaskan masa depan pembangunan bola sepak negara.
Penganalisis sukan, Datuk Pekan Ramli berkata, pemimpin yang dilantik bukan sahaja perlu berwibawa tetapi juga mempunyai minat mendalam terhadap bola sepak serta keupayaan menguruskan dana yang besar.
Jelasnya,FAM bukan sahaja sebuah persatuan sukan tetapi juga entiti besar yang turut menguruskan aspek komersial melalui Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
"Andai memilih presiden yang tidak tepat, ia boleh menjejaskan usaha pembangunan akar umbi, program bola sepak negeri dan juga keberlangsungan liga tempatan yang semakin kompetitif.
“Saya lebih suka pemimpin FAM datang daripada tokoh politik atau korporat yang berwibawa. Ini penting kerana FAM memerlukan dana besar dan kukuh untuk memastikan pembangunan bola sepak dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
“Selain itu, presiden juga harus bijak menguruskan dana, menarik pelaburan baharu serta memastikan kewangan persatuan stabil untuk jangka panjang,” katanya.
Kerusi Presiden FAM kini kosong susulan peletakan jawatan Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub pada 26 Ogos lalu.

Penganalisis sukan, Datuk Pekan Ramli