fb fb fb fb fb

Johor kuasai kategori terbuka Terengganu Pushbike 2025

Edisi ke-4 Terengganu Pushbike 2025 turut menarik penyertaan 315 pelumba cilik termasuk dari Thailand, Singapura dan Indonesia

KUALA TERENGGANU, 15 September - Edisi ke-4 Terengganu Pushbike 2025 mencatat kejayaan berganda buat pasukan Johor apabila pelumba cilik mereka mendominasi kategori terbuka lelaki dan wanita pada saingan yang berlangsung di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT).

Dalam kategori terbuka lelaki, pelumba Tornado Riders Pontian, Muhammad Nur Ammar Mohd Yatim muncul juara, menewaskan dua wakil JB Rocket Team, Mikail Adha Azizul yang meraih tempat kedua dan Muhammad Rayqal Muhammad Hazul Haffiz di kedudukan ketiga.

Sementara itu, kategori terbuka perempuan turut menyaksikan podium dikuasai pasukan Johor dengan pelumba JB Rocket Team, Nur Faliesha Farisa Mohd Fariduddin Fawwaz di tangga teratas.

Naib juara milik Nur Ayra Hanania Alif Shahpur Ridhwan dari Shark Speed Pushbike Club manakala tempat ketiga diraih Nur Qaisara Damia Muhammad Ridhwan dari M8 Johor.

Presiden Tornado Riders Bike Club, Salzerul Daud menyifatkan kejayaan tersebut sebagai penanda aras terbaik untuk kelab kecil dari Pontian, khususnya berdepan cabaran pelumba berpengalaman termasuk dari luar negara.

Bagi pengurus JB Rocket Team, Azizul Mahadi, kemenangan itu hasil kerjasama serta komunikasi pasukan dalam menguruskan pelumba berusia bawah sembilan tahun yang berdepan cuaca tidak menentu sepanjang dua hari perlumbaan.

Perlumbaan kali ini menarik penyertaan 315 pelumba cilik termasuk dari Thailand, Singapura dan Indonesia, sekali gus meletakkan edisi kali ini sebagai yang paling berprestij sejak penganjurannya.

Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata, sambutan luar biasa itu membuktikan sukan pushbike mampu menjadi medium merapatkan jurang pendidikan STEM dengan masyarakat, selain menambah nilai kepada program cuti sekolah.

1509 SKN TERENGGANU PUSHBIKE PORTAL123Pasukan JB Rocket Team raih podium tempat pertama kategori wanita terbuka yang dirangkul oleh pelumba Nur Faliesha Farisa Mohd Fariduddin Fawwaz

 

1509 SKN TERENGGANU PUSHBIKE PORTAL963Shark Speed Pushbike Club yang berpangkalan dari Muar, Johor raih 7 piala keseluruhan termasuk tempat kedua kategori wanita terbuka yang diungguli oleh pelumba Nur Ayra Hanania Alif Shahpur Ridhwan

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE