KUALA LUMPUR, 15 September - Belanjawan 2026 dijangka memberi tumpuan terhadap penyusunan semula langkah rasionalisasi subsidi dengan pendekatan lebih bersasar, khususnya melibatkan golongan B40 dan kumpulan rentan, menurut Penganalisis Ekonomi Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEF), Profesor Dr. Baharom Abdul Hamid.
Beliau menjelaskan, langkah itu akan membantu kerajaan mengekalkan perbelanjaan berhemah tanpa perlu memperkenalkan cukai baharu atau menaikkan kadar sedia ada.
“Belanjawan kali ini akan terus mengurangkan defisit, tidak melibatkan pinjaman baharu dan saya tidak menjangkakan kejutan dari segi cukai. Fokus akan lebih terarah kepada bagaimana subsidi disusun semula untuk mereka yang benar-benar memerlukan", kata beliau, di sini.
Tambahnya, sektor pendidikan dan kesihatan dijangka terus menerima peruntukan lebih tinggi memandangkan peranan signifikan dan pulangan besar kedua-dua bidang itu untuk tempoh jangka panjang.
“Sektor kesihatan misalnya, walaupun pulangannya tidak begitu kelihatan secara langsung, apabila rakyat dan tenaga kerja berada dalam keadaan sihat, pertumbuhan ekonomi akan menjadi lebih rancak,” katanya.
Bagi sektor pertahanan pula, Baharom menjangkakan sedikit penambahan peruntukan, selaras dengan perancangan asal dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Belanjawan 2026 dijadual akan dibentangkan pada 10 Oktober ini.
