fb fb fb fb fb

Pemergian Pele, Brazil umum tempoh tiga hari berkabung

FOTO AFP

BRASILIA, 30 Disember- Brazil mengisytiharkan tempoh berkabung tiga hari berikutan kematian legenda bola sepak, Pele.

Presiden, Jair Bolsonaro menerusi ciapan di Twitter berkata ia susulan pemergian Pele yang membawa nama Brazil di persada dunia menerusi bola sepak.

Figura itu juga menjadi ikon dunia yang mengubah sukan itu menjadi kesenian dan kegembiraan.

Media tempatan melaporkan, penghormatan terakhir untuk Pele akan berlangsung pada Isnin sehingga pukul 10.00 pagi, hari Selasa.

Orang ramai dibenarkan untuk melakukan penghormatan terakhir dalam tempoh itu.

Ikon bola sepak itu akan dikebumikan pada 3 Januari di Memorial Necropole Ecumenica.

Terdahulu, Pele disahkan meninggal dunia pada Khamis akibat kanser kolon dan kegagalan fungsi organ.

Dalam pada itu, pemergian Pele yang dikenali genius bola sepak dengan gaya permainan 'bola sepak samba' menerima pelbagai reaksi daripada komuniti bola sepak dunia.

Bintang sensasi Perancis, Kylian Mbappe berkata legasi Pele tiada galang gantinya dan akan dikenang sampai bila-bila.


(Penyerang Perancis, Kylian Mbappe bersama legenda bola sepak, Pele/AFP)

Selain itu, pemain terbaik Piala Dunia 2022 Lionel Messi menerusi Instagramnya mendoakan agar "Roh Pele bersemadi dengan tenang".

Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo turut berkongsi gambarnya bersama legenda Brazil itu sambil berpegangan tangan dengan ucapan takziah.-AFP

 

Media Baharu