fb fb fb fb fb

Lee Tuck sah sertai KDA FC untuk musim 2023

(Pemain baharu pasukan KDA FC, Lee Tuck)

ALOR SETAR, 30 Disember - Penyerang skuad kebangsaan, Lee Andrew Tuck atau lebih dikenali sebagai Lee Tuck, sah bersama pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim 2023.

Pengesahan KDA FC itu sekali gus menamatkan spekulasi ke mana destinasi yang dituju Lee Tuck selepas mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontraknya bersama Sri Pahang FC.

KDA FC dalam kenyataan memaklumkan, Lee Tuck yang mengikat kontrak selama setahun bersama Sang Kenari bakal mengisi slot kuota pemain tempatan terakhir bagi pasukan Liga Super musim 2023.

Musim lepas beliau mewakili pasukan Sri Pahang FC dan mula beraksi sebagai pemain tempatan dalam saingan TM Piala Malaysia 2022.


(Foto FB Kedah Darul Aman FC)

Walaupun sebelum ini mengisi slot kuota import, Lee Tuck akhirnya mendapat kerakyatan secara naturalisasi pada Jun lepas dan baru-baru ini disenaraikan sebagai pemain Harimau Malaya bagi kejohanan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.

Lee Tuck bukan nama asing apabila mula menempa nama di Liga Malaysia sejak musim 2017 bersama Negeri Sembilan FC seterusnya bersama Terengganu FC yang menjadi kemuncak prestasinya sebagai pemain import.

Kesungguhan tinggi, kental bertahan, bagai pahlawan di bahagian tengah dalam formasi bertahan adalah aset berharga buat Sang Kenari musim hadapan.

Kehadiran pemain berusia 34 tahun itu sudah pasti memperkukuhkan bahagian tengah Sang Kenari musim depan dan nombor 10 menjadi pilihan beliau di musim 2023.

Media Baharu