SEREMBAN, 14 September- Selepas lapan tahun mengimpikan emas, pelumba berbasikal lebuh raya Johor Siti Nur Adibah Akma Mohd Fuad akhirnya berjaya merealisasikan impian itu pada penampilan terakhirnya di Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 MSN 2022 hari ini.
Lebih manis, atlet berusia 23 tahun itu berjaya menyumbangkan emas pertama edisi kali ini buat negeri kelahirannya menerusi acara ujian masa individu wanita di Bandar Sri Sendayan, di sini.
Pemegang pingat perak Sukan Sea Hanoi itu, mempamerkan tunggangan bertenaga sejauh 29.7 kilometer (km) untuk muncul juara dengan catatan 44 minit dan 25.801 saat.
Atlet kebangsaan, Nyo Ci Hui yang mewakili Perak membawa pulang perak dengan catatan 45:52.607s, manakala pelumba Terengganu Siti Nur Alia Mansor (46:25.155s) meraih gangsa.
Siti Nur Adibah, yang sudah menjangkakan untuk menjuarai acara terbabit berkata pencapaian yang diperoleh hari ini merupakan catatan terbaiknya selepas empat kali menyertai Sukma bermula di Pahang pada 2012.
“Saya memang dah sasar lama untuk dapat emas, jadi hari ini, hari yang ditunggu-tunggu saya hanya fokus pada rancangan dan buat yang terbaik,” katanya kepada pemberita. -BERNAMA