fb fb fb fb fb

Piala Tun Ali: Melaka Titans dinobatkan juara regu lelaki

FOTO BERNAMA

BUKIT SERINDIT. 9 November -Melaka Titans muncul juara kategori regu lelaki Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2025 selepas menewaskan Kedah 2-0 dalam aksi aksi disini.

Pada perlawanan akhir itu, gandingan Melaka Titans yang dibarisi perejam kebangsaan, Mohamad Azlan Alias bersama tekong import dari Thailand, Pongsatorn Phong-Udtha dan Muhammad Zaim Razali (apit kiri) menewaskan gandingan Kedah yang dibarisi tekong Muhammad Amar Roslan, perejam Thailand Leosak Kuram dan pengumpan Muhammad Zulhusni Basri 17-14 dan 15-12 dalam masa 53 minit

Kemenangan itu membolehkan Melaka Titans pulang dengan hadiah wang tunai RM15,000 beserta trofi kejuaraan.

Manakala pasukan Kedah pulang memperoleh RM10,000 selaku naib juara.

Melaka Titans turut mengungguli pemain terbaik bagi kategori tekong yang dimenangi Pongsatorn Phong-Udtha dan apit kanan,Mohamad Azlan Alias. 

Kejayaan kali ini sekali gus menebus kekecewaan Melaka dalam tiga edisi terdahulu termasuk muncul naib juara pada 2022.

Sementara itu, pasukan PDRM berjaya mengungguli kategori wanita diikuti Sabah. Manakala tempat ketiga dikongsi Perak dan Selangor. 

Dalam pada itu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjuarai kategori Kuadran lelaki menewaskan Perak.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Sementara itu, perejam kebangsaan, Mohamad Azlan Alias menyifatkan Kemenangan Melaka Titans dalam kategori regu lelaki Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2025 menjadi momentum penting bagi persiapan skuad sepak takraw negara menjelang Sukan SEA Thailand 2025 pada Disember depan.

Azlan berkata meskipun kejohanan berkenaan melibatkan kelab-kelab tempatan, saingan yang diberikan cukup mencabar dan mampu diguna sepenuhnya untuk memperkukuh pasukan memburu emas di Thailand.

“Okay, untuk persiapan ke SEA Games, semuanya sudah berjalan lancar. Alhamdulillah, untuk Piala Tun Ali ini, sebagai persiapan ke SEA Games, saya lihat semua pemain sedang menunjukkan peningkatan. Jangan rasa kita sudah berada di atas, jadi kami akan terus berusaha kuat lagi untuk… ke SEA Games, Insha-Allah", katanya yang ditemui RTM selepas sesi penyampaian hadiah.

Pada Sukan SEA kali ini, skuad sepak takraw negara diletakkan dalam kumpulan A bersama Laos dan Vietnam.

Manakala acara Kuadran lelaki pula skuad negara diletakkan dalam kumpulan B bersama Laos, Kemboja, Singapore, Brunei dan Vietnam.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD