MUNICH, 9 November - Jaringan penyamaan pada masa tambahan oleh penyerang antarabangsa England, Harry Kane menyelamatkan Bayern Munich daripada mengalami kekalahan pertama musim ini di tangan Union Berlin.
Keputusan seri 2-2 itu menamatkan rekod kemenangan 16 kelab berkenaan dalam semua pertandingan.
“Ia perlawanan yang sukar. Ia bukan permainan terbaik kami, tetapi kami kekal fokus dan berjaya menyamakan kedudukan,” kata Kane.
“Dalam bola sepak, ada perlawanan seperti hari ini yang tidak memihak kepada kita. Namun, seri ini lebih baik daripada kalah sebelum rehat antarabangsa.
"Rekod 16 kemenangan berturut-turut memang hebat, tapi kini ia bukan perkara utama lagi. Kami akan terus fokus,” tambahnya.
Pada perlawanan berkenaan, Union Berlin terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Ilyas Ansah pada minit ke-9.
Namun gol itu dibatalkan oleh pengadil selepas semakan VAR menunjukkan ofsaid.
Union Berlin bagaimanapun berjaya mendahului pada minit ke-27 selepas penjaga gol Bayern, Manuel Neuer, gagal menampan sepakan lemah Doekhi.
Bayern kemudian menyamakan kedudukan melalui Luis Diaz, yang menjaringkan gol selepas melakukan gerakan satu-dua bersama Josip Stanisic.
Bersambung babak kedua Union berjaya menyumbat gol kedua pada minit ke-83 sekali lagi menerusi Doekhi.
Namun, Kane membalas dengan gol penyamaan, menjadikannya gol liga ke-13 musim ini dan memastikan Bayern mendapatkan satu mata. - REUTERS