fb fb fb fb fb

Golf Terbuka Singapura: Pemain Jepun dinobatkan juara

Pemain golf lelaki Jepun, Yosuke Asaji /REUTERS

SINGAPURA, 9 November - Pemain golf lelaki Jepun, Yosuke Asaji dinobatkan sebagai juara Terbuka Singapura selepas menewaskan Wang Jeung-hun dari Korea Selatan menerusi play-off selepas melakukan birdie sejauh 2 meter.

Kemenangan berkenaan sekali gus menjadikan Asaji sebagai pemain Jepun pertama yang memenangi terbuka berkenaan sejak 1976.

Kemenangan Asaji hadir selepas Wang melakukan pukulan kedua yang tersasar ke dalam air pada lubang play-off.

Keadaan itu menyebabkan beliau terpaksa akur dengan bogey enam. Kedua-dua pemain sebelum itu terikat dengan 19 bawah par selepas Wang menyelamatkan peluangnya dengan birdie menakjubkan sejauh empat meter di lubang terakhir.

Pemain Thailand, Rattanon Wannasrichan, dan pemain Korea Selatan, Lee Soo-min, berkongsi tempat ketiga, hanya satu pukulan di belakang.

Kemenangan tersebut melengkapkan prestasi cemerlang Asaji, yang menamatkan di tempat kedua di Filipina minggu lepas.

Beliau kini melonjak ke tangga kedua dalam kedudukan siri antarabangsa di belakang Scott Vincent dari Zimbabwe.

Dua pemain teratas akan memperoleh tempat dalam Liga LIV Golf 2026. -REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD