fb fb fb fb fb

Hoki Piala Dunia Remaja 2023 : MHC sasar separuh akhir

(Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal)

JOHOR BAHRU, 15 September- Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) menyasarkan Malaysia melangkah ke separuh akhir dalam kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja 2023 yang bakal diadakan di
Kuala Lumpur, Disember tahun depan.

Jurulatih hoki negara, Amin Rahim dilantik sebagai ketua jurulatih kejohanan berkenaan.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, kejohanan Hoki Piala Sultan Johor yang diadakan pada Oktober ini, akan menjadi platform buat pasukan kebangsaan menimba pengalaman sebelum berdepan kejohanan lebih besar.

Pihaknya tidak meletakkan sasaran tempat bagi Hoki Piala Sultan Johor, namun mahu pemain bermain dengan baik.

"Saya tidak letak sasaran, kerana ia hanya akan memberi tekanan kepada pemain dan jurulatih, kami hanya mahukan yang terbaik.

"Ini adalah platform untuk mengangkat bakat muda, beri pengalaman kepada mereka," katanya.

Tambahnya, bakat pemain muda yang berpotensi diserap ke pasukan kebangsaan juga akan dicungkil menerusi Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 yang sedang berlangsung ketika ini.

Terdahulu, beliau hadir Pelancaran Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2022 dan penyerahan ‘Mock Cheque’ oleh penaja di Johor Bahru.

Majlis disempurnakan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.

Hoki Piala Sultan Johor 2022 menerima jumlah tajaan sebanyak RM2.1 juta dengan penaja terbesar RM500,000 daripada Kerajaan Johor dan RM400,000 daripada Radio Televisyen Malaysia sebagai penyiar rasmi.

Enam negara menyertai kejohanan edisi ke-10 tahun ini iaitu Malaysia, Australia, Great Britain, India, Jepun dan Afrika Selatan di Stadium Hoki Taman Daya bermula 22 hingga 29 Oktober ini.

Tahun depan, lapan negara dijangka menyertai kejohanan tersebut dan Jerman menjadi pasukan pertama mengesahkan penyertaan.


(Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim hadir pada Pelancaran Kejohanan Hoki Piala
Sultan Johor 2022 dan penyerahan ‘Mock Cheque’ oleh penaja di Johor Bahru)

Media Baharu