BOLOGNA, 10 November - Juara bertahan Serie A, Napoli terpaksa akur dengan kekalahan 0-2 kepada Bologna pada Ahad, sekali gus melepaskan kedudukan teratas liga kepada AC Milan menerusi perbezaan jaringan.
AC Milan sebelum itu mensia-siakan peluang untuk menjarakkan kedudukan selepas seri 2-2 dengan Parma pada Sabtu, walaupun mendahului dua gol. Namun, skuad kendalian Antonio Conte gagal memanfaatkan peluang untuk kekal di puncak selepas tumbang di tangan Bologna.
Babak pertama berakhir tanpa jaringan sebelum Bologna membuka tirai jaringan lima minit selepas rehat menerusi penyudah tepat Thijs Dallinga hasil hantaran silang cantik dari sebelah kiri oleh Nicolo Cambiaghi yang baru dimasukkan pada separuh masa kedua.
Bologna memastikan kemenangan muktamad pada minit ke-66 apabila hantaran lintang dari sebelah kanan disambut dengan tandukan kemas Jhon Lucumi yang menewaskan penjaga gol Napoli di penjuru kanan atas gawang.
Kemenangan itu meletakkan Bologna di tangga kelima liga, hanya satu mata di belakang dua pasukan teratas.
Inter Milan dan Roma, yang turut ketinggalan satu mata di belakang pendahulu, berpeluang menamatkan saingan minggu ini sebagai pendahulu Serie A sekiranya masing-masing mencatat kemenangan ke atas Lazio dan Udinese dalam perlawanan lewat Ahad.
Dalam aksi lain, Sassuolo menewaskan Atalanta 3-0 manakala Genoa yang bergelut di zon bawahan diikat 2-2 oleh pasukan tercorot liga, Fiorentina.- AFP