TURIN, 10 November - Pilihan utama, Carlos Alcaraz memulakan kempen memburu trofi sulung ATP Finals dengan langkah kanan selepas menewaskan pemain Australia, Alex de Minaur, 7-6(5), 6-2 dalam aksi pembukaan peringkat kumpulan di kejohanan penutup musim itu pada Ahad.
Kemenangan itu merupakan yang pertama buat Alcaraz dalam perlawanan pembukaan ATP Finals, meskipun De Minaur memberikan tentangan sengit apabila bangkit daripada ketinggalan 1-4 untuk memaksa penentuan 'tiebreak' pada set pertama sebelum pemain Sepanyol itu berjaya menamatkan saingan dengan kemenangan.
Aksi set kedua menyaksikan kedua-dua pemain saling memecah servis pada awal permainan, namun Alcaraz kembali mendominasi apabila melakukan dua lagi 'break' untuk mendahului 4-1, dan kali ini De Minaur gagal bangkit walaupun berusaha keras dalam perlawanan pembukaan Kumpulan Jimmy Connors itu.
Kedua-dua pemain tampil dengan misi memperbaiki prestasi berbanding tahun lalu — Alcaraz tewas dua daripada tiga perlawanan peringkat kumpulan dalam set straight, manakala De Minaur tewas kesemua tiga perlawanan kumpulannya.
Alcaraz kini berada di landasan untuk menamatkan musim sebagai pemain nombor satu dunia. Di Turin, beliau perlu mara ke final dengan sekurang-kurangnya satu kemenangan peringkat kumpulan atau memenangi kesemua perlawanan kumpulan bagi memastikan gelaran itu diraih buat kali kedua.
Sementara itu, pemain Itali, Jannik Sinner perlu mempertahankan kejuaraannya untuk berpeluang menamatkan tahun ini di tangga teratas dunia.
Dalam satu lagi aksi Kumpulan Bjorn Borg yang dijadual berlangsung lewat Ahad, juara dua kali dari Jerman, Alexander Zverev bakal berdepan pemain Amerika Syarikat, Ben Shelton, yang membuat penampilan sulung di kejohanan berprestij ini.
ATP Finals menghimpunkan lapan pemain perseorangan dan lapan pasangan beregu terbaik dunia tahun ini menawarkan jumlah hadiah wang tunai tertinggi dalam sejarah sebanyak AS$15.5 juta serta 1,500 mata ranking kepada juara. Final dijadual berlangsung di Arena Inalpi, Turin pada 16 November.- REUTERS