fb fb fb fb fb

Fasa akhir kem latihan ragbi Terengganu

KUALA TERENGGANU, 14 September- Menjelang kurang dari dua hari sebelum tirai penganjuran temasya edisi ke-20 Sukan Malaysia (SUKMA XX MSN 2022) membuka gelanggang, kem ragbi Terengganu kini memasuki fasa terakhir program latihan yang telah dirangka sejak sekian lama sebelum bertolak ke venue pertandingan nanti.

Persatuan Ragbi Negeri Terengganu(PRNT) selaku pemegang taruh utama sukan ragbi negeri ini mengambil inisiatif untuk membuat kelainan dari rutin harian program latihan fizikal berintensiti tinggi dengan beberapa aktiviti untuk mempertingkatkan lagi motivasi di kalangan setiap pemain.

Menurut Timbalan Yang Dipertua PRNT Che Mohd Zulkarnain Abdul Wahab, usaha ini diambil bagi memperkemaskan lagi sebarang jurang komunikasi di antara setiap pemain bersama barisan pengurusan pasukan yang telah terjalin sejak sekian lama.

Program latihan berat yang telah bermula sejak Sukma Perak 2018 melabuhkan tirai sememangnya memberi cabaran mental dan emosi buat setiap pemain.

Malah sasaran untuk merangkul pingat yang diletakkan demi untuk mempertahanan kejuaraan di pentas Sukma buat kontijen Terengganu juga sedikit sebanyak memberi tanggungjawab besar buat pasukan yang perlu dilunaskan.

PRNT juga mengambil peluang yang ada ini untuk berkongsi khidmat nasihat kepada setiap pemain untuk merancang pilihan hala tuju mereka yang mempunyai kelebihan sebagai atlet berstatus peringkat kebangsaan.

Pada penganjuran temasya Sukma kali ini had umur penyertaan atlet adalah di bawah 23 tahun berbanding edisi-edisi terdahulu yang hanya mempertaruhkan atlet berusia bawah 21 tahun.

Timbalan Yang Dipertua PRNT Che Mohd Zulkarnain Abdul Wahab

Situasi ini untuk memberi peluang buat atlet yang telah sekian lama membuat persediaan berikutan penangguhan Sukma yang sepatutnya diadakan pada 2020 di Johor lalu.

Oleh itu terdapat segelintir atlet yang terpaksa menangguhkan perancangan hala tuju masa depan masing-masing demi memberi fokus pada pasukan sebelum bersara sepenuhnya sebaik sahaja SUKMA XX MSN 2022 ini melabuhkan tirai.

Media Baharu