(Pelumba Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa ungguli peringkat pertama LTdL 2022)
KUALA LUMPUR, 11 Oktober - Kejohanan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) bagi edisi 2022 membuka tirai dengan peringkat pertama berlangsung hari ini.
Saingan perlumbaan jelajah paling berprestij di Asia itu bermula dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan hingga ke Kuala Lumpur menyaksikan pelumba Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa muncul juara selepas melintasi garisan penamat di KLCC, petang tadi.
Walaupun hujan di beberapa lokasi termasuk di KLCC, perlumbaan tetap meriah dengan kehadiran penyokong-penyokong terutama di garisan penamat.
Syritsa mencatat masa 3 jam 43 minit dan 43 saat untuk mengungguli saingan hari ini.
Tempat kedua menjadi milik Erland Blirka daripada pasukan Uno X Pro Cycling Team diikuti Max Kanter daripada pasukan Movie Star.
Kemenangan itu membolehkan Gleb menyarung jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan dan jersi hijau selaku Raja Pecut.
(Pelumba Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa ungguli peringkat pertama LTdL 2022)
Perlumbaan hari ini juga menyaksikan pelumba pasukan berstatus benua, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Jambaljamts Sainbayar cemerlang memenangi jersi putih selaku pelumba terbaik Asia dan jersi merah selaku Raja Bukit.
TSG turut berada di kedudukan kedua senarai pasukan terbaik Asia.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut hadir menyambut para pelumba di garisan penamat
Esok, peringkat kedua perlumbaan akan bermula di Kuala Klawang, Negeri Sembilan dan berakhir di Raub, Pahang.
Laluan sepanjang 178.9 kilometer ini merupakan yang terpanjang dalam lapan peringkat perlumbaan bagi edisi kali ini.