KUALA LUMPUR, 13 November - Pelari Kenya jelas berada dalam kelas mereka tersendiri apabila mendominasi kategori maraton penuh terbuka (42.195 kilometer) lelaki dan wanita dalam larian Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2022.
Pada acara yang bermula dan berakhir di Dataran Merdeka di sini, Moses Kiptoo Kurga yang membuat penampilan sulung, muncul juara kategori lelaki selepas mencatatkan masa 2 jam 11 minit dan 6 saat.
Beliau menewaskan pelari senegara Kiprop Tonui dan Ngare Joseph Mwangi yang masing-masing menamatkan larian pada tempat kedua dan ketiga dengan catatan masa 2’15.23s dan 2’16.06s.
Kurgat berkata beliau boleh merekodkan masa lebih baik pada larian hari ini, namun disebabkan beberapa kekangan seperti cuaca lembap telah melambatkan lariannya, bagaimanapun beliau berpuas hati dengan masa yang dilakarkan.
Dalam kategori wanita, Shelmith Nyawira Muriuki memenangi perlumbaan selepas merekodkan 2’44.16s untuk mengalahkan rakan senegaranya Sheila Jepkosgei Chesang di tempat kedua (2’45.15s) manakala Eunice Nyawira Muchiri di kedudukan ketiga dengan masa 2’49.00s.
(Pelari Kenya, Moses Kiptoo Kurga dan Shelmith Nyawira Muriuki)
“Saya tidak menyangka akan menang kerana ramai lagi lawan yang kuat, tuhanlah yang membantu saya hari ini.
“Saya juga gembira dapat memenangi acara hari ini dengan rakan senegara yang lain kerana apabila anda menang, bendera akan berkibar megah dengan semangatnya kerana kita mewakili negara, jadi perasaan itu sangat indah,” kata Muriuki kepada pemberita selepas acara penyampaian pingat.
Dalam pada itu, S. Poo Vasanthan bergelar juara untuk kategori maraton penuh lelaki Malaysia selepas merekodkan 2’37.56s manakala Noor Amelia Musa membawa pulang gelaran itu dalam kategori wanita dengan catatan masa 3’13.59s.
Sementara itu, Pengarah Projek KLSCM Rainer Biemans gembira apabila acara itu berjalan dengan lancar seperti dirancang, terutamanya selepas larian itu dibatalkan selama dua tahun berikutan COVID-19.
“Kami berasa senang hati dapat kembali tetapi berharap dapat menambah baik program tahun depan kerana peluang untuk memperbaiki penganjuran itu sentiasa ada kerana itulah matlamat kami dan mungkin akan menambah beberapa pendaftaran untuk tahun depan,” katanya kepada Bernama. - BERNAMA