fb fb fb fb fb

Pelumba cilik Hakim Danish lakar sejarah membanggakan

(FOTO TWITTER Asia Talent Cup)

KUALA LUMPUR, 13 November- Pelumba muda negara Muhammad Hakim Danish Ramli mencipta sejarah tersendiri, apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejuaraan Asia Talent Cup (ATC) 2022 di Mandalika International Street Circuit di Lombok, Indonesia, hari ini.

Kejayaan itu menyaksikan Muhammad Hakim yang lebih mesra disapa Hakim Danish menjadi rakyat Malaysia pertama dan pelumba kedua dari Asia Tenggara bergelar juara keseluruhan, sejak saingan perlumbaan itu mula diperkenalkan pada 2014.

Pada perlumbaan kedua pusingan terakhir hari ini, pelumba kelahiran Terengganu berusia 15 tahun itu menamatkan saingan di tempat kedua di belakang wakil Indonesia Vede Ega Pratama, sekali gus mengumpul keseluruhan 187 mata di posisi teratas senarai kedudukan pelumba.

Pencabar terdekatnya, Shinya Ezawa dari Jepun terpaksa berpuas hati menamatkan musim di tempat kedua dengan mengumpul keseluruhan 177 mata, selepas menghabiskan perlumbaan kedua di kedudukan ketiga.

Sementara itu, kejayaan memenangi dua pusingan perlumbaan di Lombok membolehkan Vede Ega mengutip keseluruhan 141 mata dan merampas posisi ketiga dalam senarai kedudukan pelumba daripada seorang lagi wakil Jepun, Gun Mie.

Pada perlumbaan pertama yang berlangsung di litar sama semalam, Carter Thompson dari Australia menduduki tempat kedua sementara Hakim Danish ketiga.

Sebagai rekod, Hakim Danish berjaya menduduki tempat pertama pada dua perlumbaan pusingan kedua di Lombok pada Mac lepas, diikuti perlumbaan pertama pusingan keempat di Thailand dan perlumbaan pertama pusingan kelima di Litar Antarabangsa Sepang bulan lepas, sebelum beraksi di Lombok bulan ini.- BERNAMA


(FOTO TWITTER Asia Talent Cup)

Media Baharu