KUALA LUMPUR, 31 Ogos - Impian Malaysia untuk meraikan kegembiraan berganda tidak kesampaian apabila beregu wanita negara, Pearly Tan-M.Thinaah terpaksa akur dengan kekalahan kepada pasangan nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning, dalam perlawanan akhir Kejohanan Badminton Dunia 2025 yang berlangsung di Adidas Arena, Paris.
Gandingan negara yang kini berada di ranking kedua dunia itu mempamerkan aksi bertenaga dan bermandi peluh sepanjang satu jam 23 minit permainan, namun terpaksa akur dengan kehebatan pasangan China yang tampil lebih cemerlang.
Pearly-Thinaah akhirnya tewas dalam rubber set, 14-21, 22-20, 17-21.
Walaupun tidak berjaya membawa pulang emas, Pearly-Thinaah tetap melakar sejarah apabila menjadi beregu wanita Malaysia pertama yang berjaya meraih pingat perak dalam kejohanan berprestij ini.
Kemaraan mereka ke pentas akhir merupakan pencapaian terbaik sepanjang empat penyertaan di Kejohanan Dunia, mengatasi rekod terdahulu apabila hanya mara ke peringkat suku akhir pada edisi 2023.
Untuk rekod, Pearly-Thinaah telah bertemu dengan Liu-Tan sebanyak 12 kali sebelum ini, dengan pasangan negara mencatat tiga kemenangan ke atas gandingan dari China itu.