JOHOR BAHRU, 31 Ogos - Pemain muda golf negara menampilkan prestasi memberangsangkan di Kejohanan Golf Malaysia International Junior Open (MIJO) 2025 di sini, apabila berjaya mendapat kedudukan lima teratas kejohanan tersebut.
Afham Othman dan Ngo Yi Belle, masing-masing menduduki tempat kedua bagi kategori lelaki A dan B serta perempuan A dan B, manakala kategori perempuan A dan B Plate juga didominasi pemain negara.
Yi Belle menamatkan saingan tiga hari di Kelab Golf Tanjung Puteri dengan catatan tiga di bawah par di belakang pemain Thailand, Prim Pranchnakorn yang melakukan 12 di bawah par.
Manakala Afham tewas kepada Ajalawich Anantasethakul dalam penentuan Play Off selepas terikat dengan tiga di bawah par.
Bagaimanapun kedua-dua mereka berpuas hati dengan prestasi masing-masing terutama Yi Belle yang melakukan rekod peribadi terbaik.
"Saya merekodkan keputusan terbaik dalam kejohanan tiga hari itu, tiga di bawah par, dua di bawah 13 skor, semalam saya pecahkan rekod peribadi saya, saya dapat 68, jadi saya sangat gembira, pada hari pertama kejohanan, angin agak kuat," jelas Yi Belle.
"Saya menentang pasukan kebangsaan Thailand, agak kuat lah, ia antara yang terkuat, catatan peribadi terbaik saya 68, hari ini dapat 69," kata Afham.
"Setelah tiga tahun kami hanya menjadi penonton, pada tahun ini ada seramai lima orang kita, daripada hari terakhir berada pada 5 teratas dan pada 'championship fly', kita ada tiga wakil negara tadi dan rezeki tidak menyebelahi kami, salah seorang pemain kami kalah di 'play off'," jelas Pengerusi Program Pembangunan Junior Kebangsaan (NJPD) Persatuan Golf Malaysia, Fauzi Mesran.
MIJO 2025 menerima penyertaan tertinggi sebanyak 240 pemain daripada 17 negara.
Dalam pada itu, prestasi memberangsangkan yang ditunjukkan pemain muda golf negara membuktikan kepentingan kejohanan itu dalam pembangunan akar umbi golf negara.
Fauzi berkata MIJO wajar mendapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan bagi memperkasakan potensi pemain golf junior negara.
"MIJO setelah tiga tahun (penganjuran), kita telah membuktikan bahawa MIJO adalah kejohanan terbesar bukannya dalam negara, tapi di rantau Asia dan saya berharap kejohanan ini mendapat sambutan dan mendapat sokongan daripada segala bentuk kementerian, kerajaan negeri, KBS untuk bantu kami dalam melahirkan lebih ramai pemain-pemain junior Malaysia untuk bersaing di peringkat dunia," jelas beliau.
MIJO juga menjadi platform pemain junior golf negara membuktikan keupayaan mereka untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.