fb fb fb fb fb

Pearly-Thinaah mara ke suku akhir Terbuka Artik

FOTO FAIL / AFP

KUALA LUMPUR, 9 Oktober - Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah, melangkah bergaya ke suku akhir aksi Terbuka Artik 2025 selepas menewaskan wakil Indonesia di Vantaan Energia Areena hari ini.

Pasangan nombor dua dunia itu tidak berdepan masalah besar apabila menundukkan Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari 21-15, 21-13 dalam masa 38 minit pada aksi pusingan 16 terbaik.

Di suku akhir esok, Pearly-Thinaah yang muncul naib juara edisi lalu, dijadual menentang pemenang antara Margot Lambert-Camille Pognante (Perancis) dan Hsu Yin-Hui-Lin Jhih Yun (Taiwan).

Sementara itu, beregu campuran negara Goh Soon Huat-Lai Shevon Jemie turut mengesahkan slot ke suku akhir selepas hanya memerlukan 19 minit untuk menewaskan pasangan Itali-England, Innocenzo Santoro-Karen Feng Yun Qiao 21-2, 21-5.

Soon Huat-Shevon bakal berdepan Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dari Thailand yang merupakan pilihan ketiga kejohanan, selepas menewaskan wakil Republik Czech, Ondrej Kral-Tereza Svabikova, 21-15, 21-16.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE