fb fb fb fb fb

Belanjawan 2026 : BAM rayu peruntukan tambahan bantu pembangunan badminton

Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berucap pada majlis penyampaian insentif kepada pasangan beregu campuran negara, Toh Ee Wei dan Chen Tang Jie yang memenangi Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Akademi Badminton Malaysia hari ini / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Oktober - Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berharap Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan esok memberi pertimbangan sewajarnya terhadap keperluan pembangunan sukan badminton negara.

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pihaknya telah menyuarakan beberapa cadangan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) agar diperhalusi oleh Kementerian Kewangan dalam penyediaan belanjawan kali ini.

“Dalam sesi libat urus, kami turut berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara (MSN) serta Institut Sukan Negara (ISN).  Harapan kami agar Kementerian Kewangan memberi pertimbangan yang sewajarnya kepada cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh BAM melalui KBS,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Insentif kepada Pemenang Pingat Kejohanan Dunia BWF 2025, hari ini.

Menurut beliau, kejayaan pasangan campuran negara Tang Jie - Ee Wei yang muncul juara dunia baru-baru ini menjadi bukti bahawa pelaburan terhadap atlet badminton mampu memberi impak besar kepada semangat dan reputasi sukan tanah air.

“Kemenangan mereka bukan sahaja menyuntik semangat baharu kepada seluruh pasukan BAM, malah membuktikan potensi Malaysia untuk terus bersaing di pentas dunia.

"Justeru, kami berharap sokongan kewangan daripada kerajaan dapat dikekalkan, malah dipertingkatkan demi kesinambungan prestasi ini,” katanya.

Dalam masa sama, Tengku Datuk Seri Zafrul turut menekankan kepentingan penglibatan sektor swasta dalam memperkukuh ekosistem badminton negara, selaras dengan hasrat BAM untuk mengurangkan kebergantungan terhadap dana kerajaan.

“Industri sukan kini semakin berkembang. Kita perlu melihat bagaimana aset yang ada boleh dikomersialkan. Namun, pada masa yang sama, kami berharap kerajaan terus menyokong usaha pembangunan ini,” ujarnya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE