fb fb fb fb fb

Peminat China teruja saksikan aksi NBA di Macau selepas enam tahun

FOTO REUTERS

MACAU, 9 Oktober - Peminat bola keranjang di China meluahkan keterujaan mereka apabila berpeluang menyaksikan aksi bintang NBA secara langsung, menjelang dua perlawanan antara Brooklyn Nets dan Phoenix Suns di Arena Venetian, Macau pada 10 dan 12 Oktober ini.

“Saya memang teruja sangat sebab kali ini kami datang khas untuk tengok NBA China Games. Kami dah rancang dan bersiap dua bulan awal,” kata peminat setia NBA, Lyu Yizhe, sambil menambah bahawa menonton secara langsung memberi pengalaman berbeza berbanding di televisyen.

Perlawanan kali ini menjadi yang pertama diadakan di Macau pusat perjudian terbesar dunia selepas enam tahun ketiadaan aksi NBA di China berikutan kontroversi protes Hong Kong pada 2019.

Penganjuran semula NBA China Games di Macau dijangka dapat mengukuhkan semula hubungan liga itu dengan peminat China, di mana dianggarkan 300 juta orang bermain bola keranjang di negara tersebut.

Ketiadaan NBA sebelum ini berpunca daripada kenyataan bekas Pengurus Houston Rockets, Daryl Morey, yang menyokong gerakan prodemokrasi Hong Kong di media sosial, mencetuskan kemarahan Beijing sehingga siaran NBA digantung dan beberapa penaja menarik diri.

Liga itu pernah menggambarkan insiden tersebut sebagai memberi kesan kewangan yang besar, selain menyebabkan semua perlawanan pramusim di China dibatalkan.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE