fb fb fb fb fb

Jadi juara dunia, Tang Jie–Ee Wei terima ganjaran RM460,000

Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyampaikan insentif kepada pasangan beregu campuran negara, Toh Ee Wei dan Chen Tang Jie yang memenangi Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Akademi Badminton Malaysia hari ini / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Oktober - Beregu campuran negara, Chen Tang Jie –Toh Ee Wei, menerima ganjaran lumayan berjumlah RM460,000 sebagai penghargaan atas kejayaan mereka menjuarai Kejohanan Badminton Dunia di Paris, Perancis, Ogos lalu.

Ganjaran tersebut disumbangkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebanyak RM300,000, Yonex (RM100,000) dan AFFIN Bank (RM60,000).

Dalam ucapannya, Toh Ee Wei menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjadi tulang belakang kejayaan mereka, termasuk Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, serta para penaja.

“Pertama sekali, kami sangat berterima kasih atas sokongan daripada Tengku, BAM, penaja kami 100PLUS dan AFFIN. Kemenangan ini bukan sahaja untuk kami, tetapi juga untuk seluruh pasukan di belakang kami; jurulatih, penaja dan semua yang membantu. Ini kejayaan mereka juga,” katanya.

Sementara itu, Chen Tang Jie menyifatkan gelaran juara dunia bukan sekadar kebanggaan, tetapi juga satu tanggungjawab besar untuk mengekalkan prestasi dan menjadi inspirasi kepada generasi pemain muda.

“Tiada apa yang perlu diubah. Apa yang kami lakukan setiap hari itulah yang membawa kami ke tahap ini. Kami tak melihatnya sebagai tekanan, sebaliknya kami menikmati tekanan itu. Kalau bukan juara dunia, kami mungkin takkan tahu bagaimana rasanya berada dalam situasi ini,” ujarnya.

Sementara itu, beregu wanita negara Pearly Tan–M. Thinaah turut menerima insentif berjumlah RM192,500 hasil sumbangan BAM (RM112,500), Yonex (RM50,000) dan AFFIN Bank (RM30,000) atas pencapaian cemerlang mereka di kejohanan sama.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE