GEORGE TOWN, 9 Oktober - Pasukan silambam Pulau Pinang sekali lagi mengharumkan nama negara di persada antarabangsa apabila dinobatkan juara keseluruhan Kejohanan Silambam Terbuka Dunia 2025 yang berlangsung di Aspire Zone, Qatar pada 3 Okt lepas.
Setiausaha Persatuan Silambam Pulau Pinang G. Suseela berkata pasukan yang diwakili sembilan atlet itu meraih sembilan pingat emas, lima perak dan tiga gangsa dalam kejohanan berprestij berkenaan.
Katanya lima pingat emas diperoleh menerusi acara thanithiramai, manakala empat lagi emas datang daripada acara poruthal (combat).
“Selain muncul juara keseluruhan, pasukan silambam Pulau Pinang yang mewakili Malaysia buat julung kali turut dinobatkan sebagai naib juara berdasarkan kutipan mata keseluruhan, selain meraih gelaran juara berkumpulan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Menurutnya kejayaan itu hasil komitmen tinggi, disiplin serta semangat juang luar biasa atlet yang beraksi dengan tekad mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.
Suseela berkata sembilan atlet yang bertanding itu adalah barisan atlet Sukan Malaysia (SUKMA) Pulau Pinang, terdiri daripada empat lelaki iaitu K. Eimaiyan,16, T. Hemkiishen,14, S. Vickyneswaran,21, dan R. Prakash,31.
Lima atlet wanita pula ialah B.Darnisha,16, R.Bavana, 20, O.G.Thareenni,15, V.R. Raneeshaa,16, dan M.R. Rinnisha,19.
Katanya sebanyak 11 negara menyertai kejohanan itu termasuk Malaysia, Qatar, India, Emiriah Arab Bersatu (Dubai dan Abu Dhabi), Arab Saudi, Sri Lanka, Switzerland, Belanda, Amerika Syarikat dan Singapura, dengan pasukan India menjadi pencabar terkuat.
Suseela berkata pencapaian itu adalah yang terbaik setakat ini di peringkat dunia susulan kejayaan mereka muncul juara keseluruhan Kejohanan Silambam Terbuka Asia di Qatar pada Disember tahun lepas.
Beliau memaklumkan semua atlet menjalani latihan intensif selama enam bulan di bawah bimbingan jurulatih P. Ravindran, selain menyertai pelbagai kejohanan peringkat kebangsaan sebagai persediaan.- BERNAMA