fb fb fb fb fb

BAM perkenal formula baharu insentif pemain berasaskan prestasi

Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz bersama pasangan beregu campuran negara, Toh Ee Wei dan Chen Tang Jie yang memenangi Kejohanan Badminton Dunia 2025 dan barisan kejurulatihan serta penaja pada Majlis Penyerahan Insentif di Akademi Badminton Malaysia hari ini / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Oktober - Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan memperkenalkan formula baharu pemberian insentif yang lebih telus dan berasaskan prestasi, bagi memastikan semua pemain menerima ganjaran yang adil selaras dengan pencapaian masing-masing.

Presidennya, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata langkah itu sejajar dengan komitmen badan induk itu untuk terus menyokong pemain dan jurulatih agar kekal cemerlang di pentas dunia.

Beliau menjelaskan, BAM kini dalam peringkat memperincikan pelaksanaan sistem ganjaran baharu itu yang akan dibincangkan bersama ahli majlis pada 18 Oktober ini, bagi memastikan prosesnya lebih adil dan selaras dengan kontrak pemain.

“Kami mempunyai kontrak yang menetapkan syarat-syarat tertentu. Jika pemain berjaya menjuarai kejohanan atau meningkatkan ranking, mereka akan menerima ganjaran seperti yang dipersetujui.

Namun, kami mahu memastikan mekanisme pemberian insentif ini lebih transparan dan adil kepada semua pemain, dengan formula yang jelas menggambarkan prestasi mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Insentif BAM kepada pemenang Kejuaraan Dunia, BWF, di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, hari ini.

Dalam masa sama, beliau menegaskan kedudukan kewangan BAM masih kukuh, namun perlu disokong dengan pendekatan baharu untuk mengkomersialkan aset persatuan bagi menjamin kelangsungan pembangunan sukan badminton negara.

“Dana yang ada sekarang mencukupi, tetapi pada masa sama kita perlu melihat bagaimana untuk menjana sumber baharu melalui komersialisasi aset BAM. Pendanaan ini bukan hanya untuk pemain yang menang, tetapi juga bagi melahirkan juara masa depan,” jelasnya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE