fb fb fb fb fb

Pulau Pinang sasar juara Piala Emas Raja-Raja 2025

Walaupun tersingkir pada edisi tahun lalu, Pulau Pinang kini berazam membawa semula trofi berprestij tersebut ke bumi Pulau Mutiara

KEPALA BATAS, 9 Oktober - Skuad Pulau Pinang meletakkan sasaran tinggi untuk muncul juara dalam Piala Emas Raja-Raja Edisi Ke-103 yang berlangsung di negeri ini.

Walaupun tersingkir pada edisi tahun lalu, Pulau Pinang kini berazam membawa semula trofi berprestij tersebut ke bumi Pulau Mutiara.

Presidennya, Abdul Gaffar Hoosen berkata semangat dan komitmen tinggi yang ditunjukkan pemain sepanjang sesi latihan memberi keyakinan bahawa pasukan mampu mencipta kejutan.

“Sasaran kita tahun ini, insya-Allah, kita target juara. Kalau kita target biasa-biasa pun tak guna. Kita buat yang terbaik, dan walaupun serba kekurangan, kita yakin dengan barisan jurulatih dan pemain yang komited sejak awal,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jersi Skuad Pulau Pinang di Kepala Batas.

Piala Emas Raja-Raja kali ini turut memberi peluang kepada pemain berusia 25 tahun ke bawah untuk menyerlahkan bakat masing-masing sebagai persediaan ke peringkat pertandingan yang lebih kompetitif.

Sebagai tuan rumah, Pulau Pinang diundi dalam kumpulan bersama Perlis, Melaka dan Pahang, dengan perlawanan dijadual berlangsung di Padang Universiti Sains Malaysia (USM) bermula esok pagi.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE