BARCELONA, 9 Oktober - Pemilik kelab Liga Perdana Inggeris, Burnley, dari Amerika Syarikat bersetuju mengambil alih majoriti saham kelab LaLiga, Espanyol, menurut pengumuman rasmi pasukan Sepanyol itu pada Khamis.
Syarikat Velocity Sports Partners yang diketuai ahli perniagaan Amerika, Alan Pace, dilaporkan menyempurnakan perjanjian bernilai sehingga 200 juta euro (RM1.05 bilion), sekali gus menamatkan tempoh sembilan tahun pemilikan kelab itu oleh konglomerat China, Rastar Group.
“Bola sepak sentiasa milik penyokongnya,” kata Pace, yang juga Pengerusi Burnley sejak 2020. “Peranan kami bukan untuk menggantikan legasi sedia ada, tetapi untuk memperkukuhnya dengan penuh berhati-hati, kejelasan dan tujuan. Ini bukan soal pemilikan, tetapi tanggungjawab.”
Beliau turut menegaskan kedua-dua kelab akan kekal dengan identiti, struktur kepimpinan dan kebebasan masing-masing.
“Burnley tetap Burnley, Espanyol tetap Espanyol,” tegasnya.
Espanyol yang berpangkalan di Barcelona merupakan antara kelab bersejarah dalam bola sepak Sepanyol, ditubuhkan pada tahun 1900 dan kebanyakannya beraksi dalam saingan utama LaLiga dengan sokongan penyokong yang kuat.-REUTERS
