SEPANG, 2 September – Beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah menegaskan perjuangan mereka dalam arena badminton masih jauh dan belum berakhir.
Pasangan diranking ke-2 dunia itu mencipta sejarah tersendiri apabila meraih pingat perak pada Kejohanan Dunia BWF di Paris, Ahad lalu, sekali gus menjadi beregu wanita pertama Malaysia melakar pencapaian berprestij itu.
Kepulangan mereka bersama juara dunia beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, disambut sebagai wira di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pagi tadi.
Pearly berkata, mereka tidak menyesal dengan keputusan itu kerana sudah memberikan segalanya di gelanggang.
“Kami bangga kerana berjaya mengangkat beregu wanita Malaysia ke mata dunia. Tiada penyesalan kerana kami sudah berikan segalanya. Pingat ini hasil kerja keras kami, namun perjalanan masih panjang. Kami tidak akan berhenti di sini, sebaliknya akan terus berjuang.”katanya.
Thinaah pula berharap segala pengalaman dan pencapaian di kejohanan berprestij itu mampu dijadikan pengajaran untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.
“Sebagai pilihan kedua kejohanan, sudah tentu kami membawa harapan dan jangkaan tersendiri. Namun syukur kami mempunyai jurulatih serta pasangan yang sentiasa ada bersama. Semua telah berikan yang terbaik di gelanggang kerana tiada siapa mahu kalah. Bagi kami, pencapaian ini adalah sesuatu yang perlu dijadikan pengajaran.”katanya.
Dalam pada itu Thinnah juga berhara kejayaan mereka dapat membuka mata lebih ramai atlet wanita di negara ini.
Dalam aksi final yang sengit di Arena Adidas, Pearly-Thinaah tewas 14-21, 22-20, 17-21 kepada pilihan utama dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning, selepas bertarung hampir satu jam 30 minit.
Kejayaan Pearly-Thinaah turut dibantu ketua jurulatih beregu wanita, Rosman Razak serta pengarah kejurulatihan, Rexy Mainaky.
Beregu itu dijadual menyertai Terbuka Hong Kong minggu depan.
