PUTRAJAYA, 2 SEPTEMBER - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menyalurkan sebanyak RM263,000 daripada RM500,000 peruntukan yang disediakan sebelum ini kepada 31 penerima belia di bawah Dana Antarabangsa Belia (IYF @ KBS), iaitu satu inisiatif untuk memperkukuh penglibatan aktif belia di peringkat antarabangsa.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata, seramai lapan penerima telah menerima dana ini bagi Jendela Pertama, manakala 23 penerima lagi menerimanya di bawah Jendela Kedua.
"Kita mula membuka permohonan bermula April lepas Setakat ini, sebanyak lebih kurang RM263,000 telah diperuntukkan kepada 31 penerima, iaitu kira-kira 53% daripada jumlah keseluruhan dana yang disediakan.
"Jendela permohonan ini akan terus dibuka sehingga September. Harapan kita adalah, pertama, untuk mencapai penggunaan penuh 100 peratus dana yang diperuntukkan.
"Kedua, kita juga ingin memenuhi sasaran penyertaan minimum 30% daripada kalangan belia wanita. Setakat ini, kita telah mencapai 29%, jadi kita perlukan sedikit lagi usaha untuk memastikan lebih ramai belia wanita terlibat dalam inisiatif ini," katanya selepas sesi penyerahan Mock Cek kepada Penerima Dana Antarabangsa Belia KBS 2025, di sini, hari ini.
Para penerima Dana IYF@KBS berpeluang menyertai program-program berprestij seperti UN High-Level Plenary Meeting, UN Climate Change Conference (COP30), dan World Summit on Social Development.
Mereka bukan sahaja hadir sebagai peserta, malah diberi kepercayaan untuk membentangkan kertas kerja iaitu satu pencapaian yang secara tidak langsung mencerminkan tahap penglibatan serta pencapaian tinggi belia Malaysia di peringkat global.
Beliau turut memaklumkan bahawa permohonan bagi Jendela Ketiga Dana IYF@KBS masih dibuka sehingga 7 September ini dan menggesa belia yang berminat agar segera mengemukakan permohonan sebelum tarikh tutup.
Untuk maklumat lanjut dan perincian mengenai proses permohonan dana ini, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi Kementerian Belia dan Sukan di
www.kbs.gov.my/iyf.
KBS bantu perkukuh penglibatan belia di peringkat global
powered by social2s