TUARAN, 2 September – Seramai 145 peserta daripada pelbagai latar belakang menyertai program D’GATHERING: The Ultimate Outdoors yang berlangsung selama tiga hari dua malam bermula 30 Ogos dan berakhir semalam.
Program berjaya menghimpunkan para pencinta alam dan aktiviti "outdoor" dalam suasana santai, dengan pelbagai kegiatan sukan dan aktiviti riadah.
Menurut pengarah program, Saffary Dino Osman, acara tersebut turut membawa mesej kesedaran kesihatan mental melalui pendekatan luar yang lebih terbuka dan alamiah.
Peserta bukan hanya diuji dari segi fizikal, tetapi juga diajak untuk menyedari kepentingan keseimbangan emosi dan sokongan sosial dalam kehidupan seharian.
Ia juga sebagai satu bentuk aktiviti sambutan Hari Kebangsaan ke-68, di mana peserta meraikan kemerdekaan dengan mendekatkan diri kepada alam, menyemai rasa syukur atas keamanan negara dan kekayaan biodiversiti di negeri Sabah, khususnya.
Program yang turut mendapat sokongan daripada Tourism Malaysia dan Tourism Sabah itu, dilihat sebagai komitmen berterusan bagi memperkasakan pelancongan berasaskan alam dan aktiviti sihat yang memacu sektor pelancongan domestik.
Sabah dilihat bukan sahaja sebagai destinasi indah, tetapi juga sesuai untuk penganjuran aktiviti berbentuk sukan rekreasi dan gaya hidup sihat sepanjang tahun.
Dengan penyertaan aktif dan pelaksanaan yang tersusun, program ini bukti aktiviti luar bukan sekadar hiburan, tetapi medium berkesan bagi menyampaikan mesej penting kepada masyarakat sama ada berkaitan kesihatan mental, perpaduan, mahupun kecintaan terhadap alam semula jadi dan negara.