fb fb fb fb fb

PDRM idam julang gelaran juara Ragbi Piala Agong 2022

(Barisan pemain ragbi PDRM (berdiri))

KUALA LUMPUR, 3 November- Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhasrat untuk menjulang trofi kejohanan Ragbi Piala Agong 2022 edisi kali ini.

Kali terakhir pasukan itu melakukannya 31 tahun lalu pada 1991.

Pengelola pasukan, ACP Zaldino Zaludin berkata, bagi merealisasikan misi tersebut, PDRM telah memperkuatkan pasukan dengan membawa empat pemain import dari Fiji serta beberapa pemain kebangsaan.

Tambahnya, "pasukan ragbi PDRM telah melakukan persiapan sejak 2019, namun sedikit terjejas akibat pandemik COVID-19.

"Jadi kami memang berhasrat menjadi juara kali ini. Sekurang-kurangnya, kami target akan pergi jauh dalam edisi kali ini."

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Ketua-Ketua Polis dan Pegawai Pemerintah PDRM yang memberi kerjasama membenarkan pemain-pemain beraksi dalam tempoh Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15).

(ACP Zaldino Zaludin, pengelola pasukan ragbi PDRM)

Sementara itu, Penasihat Taktikal Pasukan Ragbi PDRM, Abdul Hamid Mohd Sauh mengakui empat pemain Import dari Fiji akan memberikan impak kepada cabaran mereka dalam kempen Piala Agong 2022.

Empat pemain berkenaan adalah Tovita Meciu, Orisi Eranavula, Koli Tamanitoakula dan Keps Paul.

"Saya melihat selepas dua perlawanan persahabatan, mereka akan memberikan keuntungan kepada pasukan kita.

"Empat orang ini akan memberikan satu semangat motivasi kepada pemain tempatan."

Jelas Abdul Hamid, posisi kesemua pemain tersebut akan diputuskan menerusi analisis semasa latihan nanti dan empat pemain tersebut telah tiba dua minggu lebih awal bagi mengikuti siri latihan.

PDRM akan memulakan kempen Piala Agong dalam kumpulan D bersama Kuala Lumpur, Kelantan dan Perlis.

Juara Piala Agong 2022 bakal membawa pulang trofi dan wang kemenangan bernilai RM20,000, sementara naib juara pula bakal menikmati RM15,000.

Media Baharu