fb fb fb fb fb

Pasukan sukan tarian negara tuai dua emas, satu gangsa di Jerman

Pasukan sukan tarian negara merangkul dua emas dan satu gangsa dalam Festival Sukan Tarian 2024 di Bremen, Jerman, pada Ahad / Foto MYDF

KUALA LUMPUR, 3 Jun - Pasukan sukan tarian negara merangkul dua emas dan satu gangsa dalam Festival Sukan Tarian 2024 di Bremen, Jerman, pada Ahad.

Dua emas itu diperoleh menerusi Cherry Yeo dalam acara Latin Solo Wanita Dewasa serta Yap Wan Xin bagi kategori Latin Solo Wanita Remaja manakala Kimberly Chew menyumbang gangsa menerusi acara Latin Solo Wanita Junior ll.

Persekutuan Dance Sport Malaysia (MYDF) memaklumkan, Cherry yang memenangi tiga emas dalam Festival Tarian Mallorca (MDF) di Sepanyol tahun lepas kini menduduki tempat keenam teratas dunia di bawah kategori Latin Solo Wanita Dewasa.

Manakala Yap kini menghuni kedudukan tiga teratas dunia bagi kategori Latin Solo Wanita Remaja.

“Kejayaan pasukan negara tidak dapat dicapai tanpa sokongan, dedikasi dan bimbingan pakar jurulatih Chua Zjen Fong dan Evon Chong dari MY DanceSport Academy. Komitmen mereka untuk memupuk bakat atlet ini telah memainkan peranan penting dalam mencapai prestasi yang luar biasa ini,” menurut MYDF menerusi kenyataan.

Acara ranking dunia itu diiktiraf Persekutuan Sukan Tarian Dunia (WDSF) serta menarik penyertaan sekitar 250 peserta daripada 46 negara seperti Croatia, Georgia dan China.

MYDF turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Kementerian Belia dan Sukan atas pembiayaan penyertaan dan sokongan padu bagi membolehkan pasukan negara mengharumkan nama negara di pentas dunia.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN