fb fb fb fb fb

"Pasukan perseorangan wanita berdepan kesuraman, faktor sikap atlet" - Rexy

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Januari- Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berpendapat pasukan perseorangan wanita negara akan terus dicengkam kesuraman berpanjangan.
 
Beliau memaklumkan berdasarkan penilainya terhadap barisan pemain selepas prestasi mengecewakan pada Kejohanan Terbuka Malaysia 2025.
  
Menurut Rexy, sifat merungut dan memberi alasan antara masalah utama yang menghalang pemain berkenaan untuk mara lebih jauh.
 
"Perkara ini adalah berdasarkan pemerhatian saya, bahawa mereka ini lebih banyak merungut. Apabila latihan, mereka beri alasan penat dan sebagainya.

Kita mengharapkan untuk mereka lebih menilai kemahuan dan usaha mereka untuk capai sesuatu kejayaan. Kurangkan beri alasan dan berlatih dengan penuh semangat untuk realisasikan impian kita bersama," kata Rexy kepada pemberita, hari ini.
 
Beliau menyatakan perkara berkenaan ketika ditemui di Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 di ibu negara.
 
Tambahnya, sekiranya memiliki sikap berkenaan dan bermain untuk kuasa besar dunia seperti China, Indonesia atau Jepun, mereka mungkin sudah dibuang dari pasukan negara.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM