KUALA LUMPUR, 12 Januari- Perseorangan lelaki China, Shi Yu Qi menepati ramalan apabila muncul juara dalam Kejohanan Terbuka Malaysia 2025.
Kemenangan itu sekali gus menebus kekalahannya, apabila menundukkan pemain Denmark, Anders Antonsen yang menjuarai kejohanan sama pada edisi 2024.
Pemain di kedudukan pertama dunia itu dilihat tidak mengalami sebarang kesulitan untuk meraih kemenangan mudah dalam saingan "straight set", 21-8 dan 21-15 hanya dalam tempoh 39 minit.
Bagi aksi perseorangan wanita, wakil Korea Selatan, An Se Young muncul juara apabila berjaya menumpaskan pemain China, Wang Zhi Yi.
Pemain nombor satu dunia itu dilihat meraih kemenangan mudah dengan hanya memerlukan 45 minit.
Pemain berusia 22 tahun itu berjaya mendominasi permainan dengan mempamerkan aksi cemerlang untuk menang 21-17 dan 21-7.
Kejohanan berstatus Super 1000 itu turut menyaksikan pasangan beregu wanita Jepun, Yuki Fukushima dan Mayu Matsumoto muncul juara bagi kategori itu, hari ini.
Saingan yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil itu menyaksikan gandingan berkenaan perlu bekerja keras sebelum menumbangkan pasangan China, Jia Yi Fan dan Zhang Shu Xian.
Pada set pertama pasangan China berjaya menguasai permainan dan mempamerkan momentum positif untuk meraih kemenangan 21-17.
Namun, memasuki set kedua pasangan Jepun tidak mengaku kalah dan bangkit menumpaskan China 21-15.
Jepun mengekalkan aksi agresif dan menampilkan permainan yang meyakinkan sebelum menoktahkan kemenangan mereka 21-15 dalam masa 1 jam 35 minit.
Bagi kategori beregu lelaki, menyaksikan pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho dan Seo Seung Jae muncul juara dalam perlawanan penutup bagi saingan Terbuka Malaysia 2025.
Pasangan Korea Selatan itu berjaya menumpaskan pasangan China, Chen Bo Yang dan Liu Yi.
Bagaimanapun pasangan Korea Selatan perlu berjuang sehingga ke set penentuan dan menang 21-19, 12-21 dan 12-21.
Sementara itu, bagi kategori beregu campuran gandingan Thailand, Dechapol Puavaranukroh dan Supissara Paewsampran mencipta sensasi apabila menumbangkan pasangan pilihan pertama dari China, Feng Yan Zhe dan Huang Dong Ping.
Pasangan di kedudukan ke-7 dunia itu perlu bermandi peluh sebelum meraih kemenangan sehingga ke set penentuan.
Gandingan itu perlu bekerja keras selama 1 jam 20 minit untuk sebelum meraih kemenangan 21-13, 19-21 dan 21-18.