fb fb fb fb fb

Pasukan kebangsaan dominasi Kejohanan Memanah Terbuka PKS UniSZA

KUALA NERUS, 19 Jun- Kejohanan Memanah Terbuka Pusat Kecemerlangan Sukan Universiti Sultan Zainal Abidin (PKS UniSZA) melabuhkan tirainya menyaksikan pasukan kebangsaan Program PODIUM meraih pingat emas bagi acara Compound Lelaki dan Compound Wanita.

Manakala pasukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) meraih pingat emas dan perak bagi acara Recurve Lelaki.

Sementara, pasukan SUKMA Sarawak mencuri tumpuan meraih pingat emas bagi acara berpasukan Recurve Lelaki dan berpasukan Recurve Campuran.

Kejohanan Memanah Terbuka Pusat Kecemerlangan Sukan Universiti Sultan Zainal Abidin kembali mewarnai kalendar kejohanan memanah kebangsaan setelah tertangguh berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik COVID-19 yang melanda global.

Lebih meriah, kejohanan kali ini turut mendapat penyertaan pasukan dari luar negara.

Bagi edisi penganjuran kali ke-7 ini, seramai 322 atlet memanah termasuk penyertaan pasukan antarabangsa dari Indonesia dan Singapura hadir memberi cabaran bagi 10 kategori  lelaki, wanita dan berpasukan.

Mengulas lanjut, Timbalan Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik dan Seksyen Sukan,  Kementerian Pengajian Tinggi(KPT), Datuk Dr. Pekan Ramli menzahirkan penghargaan kepada PKS UniSZA  selaku penganjur yang berjaya menarik penyertaan dari pasukan luar negara. 

Pencapaian tersebut secara tidak langsung memberi penanda aras terbaik untuk dicontohi lain-lain Pusat Kecemerlangan Sukan yang telah ditubuhkan di beberapa institut pengajian tinggi (IPT) terpilih dalam negara.

Selain itu, ia juga menjadi pentas terbaik secara kompetitif buat pelajar-pelajar IPT tempatan yang juga merupakan atlet kebangsaan yang kini dalam persiapan ke temasya Sukan Universiti Dunia 2023 di Chengdu, China pada Julai kelak.

"Ini menjadi satu tarikan kepada atlet-atlet yang ada di IPT untuk melihat bagaimana atlet-atlet memanah terbaik yang ada di dalam negara kita turut bersama-sama dalam kejohanan ini,"katanya.

Media Baharu