fb fb fb fb fb

Argentina tewaskan Indonesia 2-0 dalam perlawanan persahabatan

(Pemain Indonesia, Marc Anthony klok (kiri) dan pemain Argentina Giovani Lo Celso (kanan) semasa perlawanan
di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada 19 Jun 2023/AFP)

JAKARTA, 20 Jun- Juara Piala Dunia, Argentina menewaskan Indonesia 2-0 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Gelora Bung Karno, di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, perlawanan berkenaan tidak disertai bintang sepak bola, Lionel Messi.

Argentina menang hasil sepasang gol yang dijaringkan oleh Leandro Parades pada minit ke-38 dan Cristian Romero pada minit ke-55.

Indonesia yang berada di tangga ke-149 itu mendapat sokongan dan sorakan padu daripada lebih 60,000 penonton berbaju merah.

Salah seorang penyokong tuan rumah, Fahri Satria berkata walaupun sedikit kecewa kerana ketiadaan Messi pada aksi itu, tetapi masih gembira melihat pasukan juara dunia bermain di kampung halamannya.

“Jika Messi datang, kami akan lebih teruja. Tetapi tidak mengapa," katanya.

Messi menarik diri daripada perlawanan selepas berminggu-minggu digembar-gemburkan di Indonesia.

Difahamkan, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) mengeluarkan kos sebanyak $AS5 juta (RM23,180,000) bagi perlawanan berkenaan. -AFP

(Pemain Argentina, Lucas Ariel Ocampos (kiri) dan pemain Indonesia, Pratama Arhan Alif Rifai (kanan)
di 
Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada 19 Jun 2023/AFP)

Media Baharu