(Skuad Harimau Malaya menzahirkan penghargaan kepada penyokong yang hadir/BERNAMA)
KUALA NERUS, 20 Jun- Persembahan cemerlang pada separuh masa kedua menjadi kunci kejayaan Malaysia membelasah Papua New Guinea 10-0 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini, malam ini.
Paling mencuri tumpuan pada pertembungan yang disaksikan 9,592 penyokong itu adalah pemain sayap muda sensasi Arif Aiman Mohd Hanapi dan pemain naturalisasi Paulo Josue selepas masing-masing meledak empat dan tiga gol untuk membantu skuad Harimau Malaya merakam kemenangan besar.
Skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon menjaringkan sembilan gol pada separuh masa kedua selepas mendahului di penghujung babak pertama menerusi penalti Muhammad Safawi Rasid susulan kekasaran terhadap Muhammad Akhyar Abdul Rashid.
Pesta gol pasukan negara seharusnya bermula lebih awal apabila deretan peluang keemasan disia-siakan pada babak pertama sebelum situasi itu memaksa Pan Gon melakukan beberapa pertukaran antaranya membawa masuk Arif Aiman dan Mohamad Faisal Abdul Halim yang ternyata membuahkan hasil.
Sembilan gol Malaysia pada babak kedua bermula dengan jaringan Josue pada minit ke-52 selepas menampilkan kawalan bola yang baik ketika menerima hantaran Muhammad Azam Azmi Murad sebelum tenang melepaskan rembatan yang menewaskan penjaga gol Ronald Warisan.
Lima minit kemudian, Arif Aiman meledak gol ketiga pasukan negara selepas berjaya melepasi perangkap ofsaid untuk menyambut hantaran cantik Nooa Laine sebelum Mohamad Faisal menjadikan kedudukan 4-0, dua minit berselang.
(Mohamad Faisal (tengah) meraikan jaringan bersama sepasukan pada perlawanan
Persahabatan Antarabangsa Tier 1 antara Malaysia lawan Papua New Guinea/BERNAMA)
Arif Aiman memperoleh gol keduanya pada minit ke-60 selepas menyudahkan hantaran Mohamad Faisal dalam kotak penalti disusuli jaringan kedua Josue empat minit kemudian sekali gus menambah tekanan ke atas pelawat yang dibimbing Harrison Kamake.
Hatrik pertama perlawanan menjadi milik Arif Aiman selepas menjaringkan gol ketujuh pasukan negara pada minit ke-68 dan langkah cemerlang itu dituruti Josue apabila menyudahkan peluang di depan gol pada minit ke-70.
Malaysia terus menambah derita Papua New Guinea dengan gol kesembilan dijaringkan Daniel Ting pada minit ke-76 sebelum Arif Aiman meledak gol peribadi keempatnya malam ini tiga minit sebelum masa penuh.
Kejayaan itu menyaksikan pasukan negara merakam kemenangan keempat ke atas Papua New Guinea dalam keseluruhan lima pertemuan, selain meraih kemenangan keempat berturut-turut dalam aksi persahabatan sejak Mac lalu.
Ia juga kemenangan terbesar dicatat Malaysia sejak menewaskan Bhutan 7-0 pada aksi persahabatan pada April 2018.
Sebagai rekod, hanya lima pemain iaitu Shahrul Mohd Saad, Stuart Wilkin, Josue, Corbin-Ong dan Endrick Dos Santos dikekalkan Pan Gon daripada skuad yang menewaskan Kepulauan Solomon 4-1 pada satu lagi aksi persahabatan di sini, Rabu lalu.
Sementara itu, penjaga gol Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan. -BERNAMA